Bermula Januari 2020, UTM telah melaksanakan sepenuhnya pelaksaaan larangan penggunaan plastik sekali guna di kafe-kafe seluruh UTM. Pelaksaaan ini adalah lanjutan daripada hebahan bagi pengurangan penggunaan bekas makanan polesterina dan plastik sekali guna yang diwar-warkan sejak beberapa tahun lalu.

Dengan penguatkuasaan ini, diharapkan warga UTM terdidik dan membudayakan amalan untuk mengurang seterusnya menolak penggunaan bekas makanan polesterina dan bekas plastik sekali guna bukan sahaja di dalam kampus, malah dalam kehidupan seharian.

Perkara baru bukan mudah untuk dijadikaan amalan, perlu mengambil masa dan pada masa sama memerlukan promosi dan peringatan secara berterusan agar tidak berlaku secara ‘bermusim’. Ini juga untuk mengelak daripada hanya ‘hangat-hangat tahi ayam’ saja. Segalanya perlu bermula dari rumah, bermula daripada diri sendiri dan seterusnya kepada anak-anak dan saudara-mara.

Insya-Allah, sekiranya istiqamah pasti hasrat untuk menggurangkan pengunaan plastik sekali guna akan berjaya seterusnya mengurangkan sampah sarap di persekitaran kita. Penggunaan bekas makanan guna semula atau bersifat mesra alam mesti menjadi pilihan selepas ini untuk memastikan cita-cita murni ini tercapai. Kalau bukan kita, siapa lagi yang nak jaga alam sekitar ni kan?